Ibu Derita Sendirian

TERBIAR...warga emas terlantar sendirian di rumahnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, kelmarin. 
TERBIAR...warga emas terlantar sendirian di rumahnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, kelmarin.
ALOR GAJAH: Memilukan apabila seorang wanita warga emas bukan saja terlantar bersendirian di ruang tamu rumahnya di Kampung Pulau Sebang di sini, malah bergelumang dengan najisnya sendiri berikutan keuzuran dialaminya tanpa mendapat pembelaan anak tunggalnya yang didakwa menghilangkan diri.
Lebih malang apabila permohonan Sabi Dollah berusia 85 tahun itu untuk tinggal di rumah kebajikan tidak mendapat pertimbangan sewajarnya.

Sumber berkata, warga emas itu terlantar beralaskan sekeping tilam nipis di atas lantai ruang tamu rumahnya yang tidak terurus.
“Dia (wanita itu) tinggal sendirian dengan keadaan kesihatannya yang lemah selain mengalami masalah penglihatan dan pendengaran. Dia hanya mampu mengharap simpati jiran terdekat memberinya makan minum selain menyediakan keperluan lain.

“Difahamkan, dia mempunyai seorang anak tunggal perempuan namun menghilangkan diri tanpa menjenguk keadaannya selama lebih lima tahun tanpa khabar berita,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sejak terlantar sakit, warga emas itu hanya mampu mengharapkan perhatian dan ihsan jiran terdekat yang sering datang membawa makanan dan minuman.
“Beberapa jiran terdekat yang bersimpati menjenguk dan menyuapnya makanan tanpa bekalan air bersih yang dipotong disebabkan tunggakan bil lebih RM1,500.

“Lebih menyayat hati warga emas ini terpaksa membuang air kecil dan air besar di atas tempat tidurnya setiap hari hingga menyebabkan rumah busuk,” katanya.
Kata sumber itu, keperitan hidup ditanggung warga emas itu mendapat perhatian pihak berkaitan yang akan mendapatkan tempat tinggal dan memastikan kebajikannya terpelihara.

“Namun, tiada maklum balas diterima dan lebih mengecewakan apabila syarat yang perlu dipatuhi seperti pemeriksaan kesihatan turut dibuat,” katanya.

Melihat keadaan diri warga emas itu yang menghidap sakit pundi kencing dan darah tinggi, beberapa penduduk menghubungi bantuan kecemasan untuk dihantar ke Hospital Alor Gajah (HAG), petang kelmarin.

“Paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah yang dipanggil kemudian membawa warga emas berkenaan ke HAG sebelum dirujuk ke Hospital Melaka (HM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM daerah, Saiful Nazmi Said berkata, keadaan wanita berkenaan amat menyedihkan kerana bergelumang dengan najis.

-Via HMetro-

1 comment:

  1. Jahat betul anak dia tuh..Hurm,tkde sdikit simpati.Kejam!

    ReplyDelete

No hash words .